ALLAH MATLAMAT KAMI
RASULULLAH PEMIMPIN KAMI
AL-QURAN PERLEMBAGAAN KAMI
JIHAD JALAN KAMI
MATI SYAHID ADALAH CITA-CITA KAMI

Rabu, 18 Disember 2013

PENGERTIAN ISLAM

PENGERTIAN ISLAM

Islam ini merupakan agama yang diwahyukan oleh Allah Taala kepada para-para nabi a.s. menjadi pegangan pengikut-pengikutnya. Islam ini tidak mampu hanya diterjemahkan sekadar pandangan manusia kerana pengertiannya jauh berbeza dengan dengan pengertian pemahaman agama-agama yang lain.

Islam ini merupakan agama yang meliputi semua perkara di dalam kehidupan manusia samada yang berkaitan dengan aqidah manusia, syariat-syariat yang berhubungan dengan rohani dan jasmani, individu dan berkumpulan bahkan yang meliputi segala urusan kehidupan di dunia dan di akhirat. Firman Allah Taala:
t
(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.[1]
        
Islam juga boleh ditakrifkan dengan jawapan kepada soalan orang yang bertanya sebagaimana yang dijawab oleh baginda Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya yang bermaksud:

Dibina Islam itu di atas lima perkara bersyahadah bahawa tiada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan.
                                              
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

         Di sana juga terdapat beberapa ta’rif yang dikemukan oleh ulama’ berdasarkan al-Quran as-Sunnah antaranya ialah Islam itu bererti tunduk dan menyerah diri kepada Allah taala serta mentaatinya yang lahir dari kesedaran dengan tidak dipaksa. Ini kerana keislaman berdasarkan kepada paksaan tidak diterima oleh Allah taala. Firman Allah taala:

Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nyalah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.[2]

         Berdasarkan ayat di atas kita umat Islam sepatutnya mengerti bahawa Islam bukanlah suatu agama yang memberi paksaan ke atas penganutnya tetapi segala ibadat yang dilakukan adalah berdasarkan kepada keikhlasan hati dan kepatuhan secara menyeluruh samada berkaitan akidah, ibadat, muamalah, akhlak samada perkara yang berkaitan dengan perjalanan hidup seorang hamba di dunia yang fana ini maupun perbekalan ke dunia yang abadi.

         Selain itu Islam juga boleh ditakrifkan sebagai jawapan kepada tiga persoalan iaitu :-

1.     Dari mana kita datang?
2.     Kenapa kita diciptakan?
3.     Kemanakah kita akan dikembalikan?


 Dari Mana Kita Datang?

Kita adalah makhluk Allah yang diciptakan oleh-Nya memiliki akal fikiran berlainan dengan makhluk yang lain. Dikurniakan akal fikiran untuk melihat kebesaran Allah pada ciptaan-Nya. Kita juga perlu sedar tentang hakikat kejadian kita yang berasal daripada titisan air mani yang hina sehinggalah sempurnanya kejadian manusia. Adakah setelah itu layak bagi makhluk ini menderhakai penciptanya. Firman Allah taala:


Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur- ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang dimatikan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyayuk, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi Ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.[3]

         Firman Allah taala :

Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami saluti dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.[4]

Di dalam ayat yang lain Allah Taala berfirman:
  
Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan?. Dia diciptakan dari air yang dipancarkan, yang keluar dari antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan.[5]

         Jelaslah bahawa kita ini merupakan hamba Allah yang diciptakan-Nya sebagai makhluk tuhan. Dijadikan oleh Allah daripada sesuatu yang hina berakhir dengan kemuliaan atau kekal di dalam kehinaan.

Kenapa Kita Diciptakan?

         Setiap yang dicipta ada kegunaan dan tugasnya. Begitulah dengan manusia bukan diciptakan hanya sebagai ciptaan semata-mata bahkan ada tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan. Manusia menciptakan sesuatu untuk mendapatkan faedah daripada ciptaannya berlainan dengan Allah Yang Maha Berkuasa tidak mengharapkan faedah dari ciptaan-Nya tetapi Allah memberikan faedah kepada ciptaan-Nya. Firman Allah taala:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.[6]

                                                                                    
Kemanakah Kita Akan Dikembalikan?

         Setiap permulaan itu sudah tentu ada akhirnya. Begitulah hakikat kehidupan manusia akan ada jua penghujungnya. Sebagai orang Islam yang beriman kita perlu mengerti bahawa adanya alam yang lain selepas kehidupan yang sementara di dunia yang fana’ ini.

Firman Allah taala:

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya).[7]

Firman Allah taala:

Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian kepada-Nyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).[8]

Firman Allah taala:

kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.[9]

         Ayat-ayat di atas ini menyatakan tentang kesudahan manusia dimana mereka akan berjumpa Allah di akhirat kelak dan segala amalannya di dunia akan diperhitung dan diberi balasan. Barangsiapa yang beroleh syurga maka berjayalah dia dan barangsiapa yang beroleh neraka maka celakalah dia.




[1] Surah an-Nahl ayat 89
[2] Surah al-Imran ayat 83
[3] Surah al-Haj ayat 5
[4] Surah al-Mukminum ayat 12 - 14
[5] Surah at-Thariq ayat 5 - 7
[6] Surah az-Zariyat ayat 15
[7] Surah al-Insyiqaq ayat 6
[8] Surah ar-Rum ayat 11
[9] Surah az-Zumar ayat 7

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular