ALLAH MATLAMAT KAMI
RASULULLAH PEMIMPIN KAMI
AL-QURAN PERLEMBAGAAN KAMI
JIHAD JALAN KAMI
MATI SYAHID ADALAH CITA-CITA KAMI

Isnin, 23 Disember 2013

CIRI-CIRI KEIMANAN DAN HAKIKATNYA


         Iman ini merupakan aqidah yang hanya diketahui rahsianya oleh Allah Taala namun ada ukuran pada peribadi manusia yang bersifat lahiriah. Sifat-sifat ini dapat dilihat melalui tindak-tanduk manusia samada perkataan atau perbuatan.

         Seseorang yang beriman itu mestilah mengetahui hikmah keimanannya melalui hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Sesungguhnya penyerahan dan penerimaan itu boleh berlaku melalui tiga perkara iaitu melalui pegangan hati (aqidah)  perbuatan dan  melalui lidah dan sifat lahiriahnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Allah memasukkan ahli syurga ke dalam syurga. Dia memasukkannya sesiapa yang Dia kehendaki dengan rahmat-Nya dan memasukkan ahli neraka ke dalam neraka kemudian Ia berfirman : Lihatlah kamu akan sesiapa yang kamu dapati di dalam hatinya iman walaupun sebesar biji yang halus maka keluarkanlah dia.
                                                                                     (riwayat Muslim)


 Hakikat Iman

         Terdapat kekhilafan di kalangan ulama’ tentang perkara hakikat iman. Adakah iman itu sekadar di hati atau iman jua terdapat pada perkataan dan perbuatan. Di sini dikemukan beberapa pendapat ahli sunnah wal jamaah tentang perkara ini.

         Berkata sebahagian besar daripada pendapat ulama’ ahli sunnah bahawa sesungguhnya iman itu berpandukan ikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melaksanakan dengan anggota sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab “Syarah al-Aqidah at-Toohawiyyah.[1]

         Berkata al-‘Allaamah Ibnu Qayyim al-Jauziy seorang ulama’ mazhab ahli sunnah: sesungguhnya iman itu membenarkan dengan hati, beramal dengan rukun-rukunnya dan melafazkan dengan lisan. Ini dinyatalan di dalam syairnya:

Aku bersaksi ke atas mereka sesungguhnya terbina iman
Berdasarkan perbuatan, perkataan dan hati yang membenarkan[2]

         Berkata Imam Syafie r.a. di dalam kitab al-Umm : “Adalah disepakati oleh sahabat, tabiin dan selepas daripada mereka serta orang yang mengenali mereka bahawa iman adalah perkataan, perbuatan dan niat. Tidak boleh dipisahkan satu daripada tiga perkara tersebut”.[3]

         Berkata Imam Ahmad bin Hambal “Ini adalah kerana mereka yang mengatakan sesungguhnya iman itu melibatkan perkataan dan perbuatan adalah ahli sunnah dan merekalah pendokong syiar Islam”.[4]

         Demikianlah juga yang diriwayatkan oleh Abu Umar melalui Musa bin Harun dan diceritakan oleh Ishak bin Rohiwiyyah tentang iman ini. Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Imam al-Auza’I di Syam, Iman Sufian as-Sauri di Iraq, Imam Malik bin Anas di Hijaz dan Ma’mar di Yaman[5]        

         Pendapat yang paling tepat ialah ulama’ ahli sunnah bersepakat bahawa iman itu diketahui dengan perkataan, hati dan amalan dan bersandarkan pada pandangan Allah taala. Mereka yang berpegang pada tiga perkara ini berhak menerima syurga dan tidak kekal di dalam neraka. Ini kerana mereka yang melafazkan kalimah syahadah secara mutlak melaksanakan perintah-perintah Allah dan beristiqamah di atasnya. Mereka tidak akan dihukum sebagai kafir selagimana syahadah tidak terbatal.[6]

Iman itu bertambah dan berkurang

Sebagaimana percanggahan ulama, tentang hakikat iman begitu juga tentang iman bertambah dan berkurang. Dikalangan ulamak ada yang berpendapat bahawa iman itu tidak bertambah dan berkurang ianya dipandang sebagai aqidah yang tidak boleh dibahagikan.

Menurut pendapat salaf  bahkan pendapat jumhur ulamak bahawa iman yang disertakan dengan amal yang soleh itu bertambah dan berkurang kerana ada nas-nas yang dinyatakan berdasarkan al-Quran, as-Sunnah dan athar para sahabat.

Berkata Imam at-Tohawi di dalam kitabnya al-Aqidah at-Tohawiyyah “ Dan iman itu satu. Pada hakikatnya yang asal semua orang Islam ini berada pada tahap yang sama namun kelebihan mereka di sisi Allah adalah berdasarkan takut dan takwa mereka kepada Allah”.[7]

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyatakan tentang iman itu bertambah dan berkurang. Firman Allah taala:
   
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.[8]

Firman Allah taala:
 t
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya segala urusan kami)".[9]

Firman Allah taala:

(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman  supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada.[10]

         Terdapat juga beberapa dalil daripada hadis Nabi s.a.w mengenai perkara ini antaranya sabda Nabi s.a.w.

Iman itu mempunyai 70 cabang, yang paling tinggi adalah kalimah لا إله إلا الله  dan serendah-rendahnya adalah membuang sesuatu halangan  di jalanan, malu itu sebahagian daripada iman[11]
                                                                           (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi s.a.w.

Iman yang paling sempurna di kalangan orang yang beriman adalah orang yang paling baik akhlaknya.[12]
                   (riwayat Tirmizi dan Hakim, kata Imam Tirmizi hadis Hassan sahih
Sabda Nabi s.a.w.

Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasanya) sekiranya tidak mampu hendaklah mengubah dengan lidahnya dan sekiranya tidak mampu hendaklah membenci di dalam hati dan itulah selemah-lemah iman[13]
                                                                                     (riwayat Muslim)

         Di sana juga terdapat athar para sahabat dalam menyatakan iman itu bertambah dan berkurang sepertimana yang diceritakan bahawa Syaidina Umar r.a.[14] berkata

Marilah kita bersama-sama tingkatkan iman, maka sebutlah dan ingatlah Allah

         Berdasarkan dalil-dalil yang dinyatakan maka jelaslah bahawa iman itu bertambah dan berkurang dan di antara sebab-sebab utama bertambahnya iman ialah:

1. Ilmu:

ini kerana bertambahnya iman seseorang itu berdasarkan bertambahnya pengetahuannya dan keyakinannya. Berkata Jundub bin Abdullah dan Ibnu Umar r.a.[15]

Kami mempelajari iman. Kami mempelajari al-Quran maka dengan itu kami meningkatkan iman kami.

         Kedudukan ilmu yang dimaksudkan di sini ialah pengetahuan tentang Allah Taala, nama-Nya yang mulia, sifat Allah dan perbuatan-Nya. Pengetahun tentang ayat-ayat Allah. Pengetahuan tentang Rasulullah (s.a.w.) yang membawa risalah Tuhan secara jelas. Pengetahuan tentang akhlak Rasulullah (s.a.w.) serta syariat yang dibawa oleh baginda, sirah perjalanan baginda serta ibadah, jihad dan muamalah baginda. Pengetahuan tentang kitab-kitab Allah serta hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.

2. Amalan :

 Sesungguhnya dengan melakukan banyak amalan yang soleh dengan ketaatan akan menambahkan keyakinan dan menguatkan keimanan kepada Allah manakala kekurangan amal dan terdedah kepada maksiat dapat melemahkan iman sehinggalah sampai kepada tahap manusia dengan sebab banyaknya kemungkaran yang dilakukan akhirnya membawa mereka kepada kekufuran terhadap Allah taala.

Di dalam perkara ini terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian. Ada dikalangan manusia melihat kepada amalan hanya dengan membenarkan sahaja tetapi tidak dijadikan sebagai amalan harian mereka. Ada yang mendengar tetapi tidak diamalkan, maka perkara inilah yang menyebabkan iman manusia kepada Allah berkurangan sedangkan peningkatan iman itu memerlukan bukan sekadar kepada pemahaman semata-mata bahkan perlu kepada amalan yang selari dengan pemahamannya.

3. Ingatan, sebutan dan fikiran

         hati mengingati sifat-sifat yang layak bagi Allah Taala, lidah menyebut dan  membaca ayat-ayat Allah Taala di dalam al-Quran. Apabila lidah dan hati berterusan mengingati Allah maka hatinya sentiasa terikat dengan Allah dan jauh daripada kelalaian. Berkata Abi Ja’far daripada datuknya Umair b. Habib (salah seorang sahabat Rasulullah SAW):

Iman itu bertambah dan berkurang, seseorang bertanya: Apakah yang menyebabkan iman itu bertambah dan berkurang ? Jawabnya: Iman itu bertambah apabila kita mengingati dan menyebut nama Allah, memuji-Nya dan menyucikan-Nya. Manakala iman itu berkurang apabila kita lalai dan lupa menyebut nama Allah.[16]

Firman Allah Taala :
t
(yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri,  duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksaan api neraka.[17]

         Manakala akal digunakan untuk memikirkan kebesaran Allah Taala pada segala ciptaan-Nya. Sekiranya manusia sedar tentamg kelemahan diri makhluk berbanding penciptanya disaat itu perasaan takut dan mengharap begitu menebal di dalam jiwa. Maka disaat itulah bertambahnya iman manusia bahkan manusia boleh merasainya. Apabila manusia lalai dan merasakan segala yang dimiliki itu pada pemikiran mereka adalah hasil usaha mereka semata-mata serta tidak merasa pertolongan Allah ke atas mereka maka disaat itu semakin berkuranglah iman mereka. Firman Allah Taala :

mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi.[18]




















[1] Syarah Aqidah at-Tohawiyah m/s 373
[2] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 139
[3] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 140
[4] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[5] Kitab al-Iman, arkanuhu wa haqiqatuhu wa nawaqiduhu, Mohd Na’im Yasin ms 132
[6] Syarah an-Nawawi ‘ala Sahih Muslim jilid 1 m/s 149
[7] Syarah al-Aqidah at-tohawiyah m/s 375
[8] Surah al-Anfal ayat 2
[9] Surah al-Imran ayat 173
[10] Surah al-Fath ayat  4
[11] Sahih al-Bukhari , Fathul Bari jilid 1 m/s 33 dan Sahih Muslim , syarah Imam an-Nawawi jilid 1 m/s 6
[12] Al-Targhib wat Tarhib jilid 3 m/s 403
[13] Sahih Muslim, Syarah Imam Nawawi jilid 2 m/s 22
[14] Syarah Aqidah at-Tihawiyyah m/s 376
[15] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[16] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[17] Surah al-Imran ayat 191
[18] Surah al-Imran ayat 191

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular