ALLAH MATLAMAT KAMI
RASULULLAH PEMIMPIN KAMI
AL-QURAN PERLEMBAGAAN KAMI
JIHAD JALAN KAMI
MATI SYAHID ADALAH CITA-CITA KAMI

Selasa, 2 September 2014

sambungan kuliah tafsir

CARA AL-QURAN DITURUNKAN

Al-Quran tidak diturunkan secara serentak keseluruhan seperti mana penurunan kitab Taurat kepada Nabi Musa dan kitab Injil kepada Nabi Isa a.s. supaya tidak membebankan umat Nabi Muhammad dengan hukum-hukum yang dipertanggungjawabkan.

- Al-Quran diturunkan ke dalam hati baginda Rasulullah SAW dengan perantaraan Jibril a.s. secara beransur-ansur bertepatan dengan hukum-hukum yang berlaku kepada para sahabat r.a. ketika itu. Bahkan al-Quran diturunkan disaat itu menjawab persoalan yang berlaku dikalangan sahabat r.a. dan menjadi sumber hukum kepada umat akhir zaman.

Diantaranya ialah firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 221 yang bermaksud :

Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman.

Ayat ini diturunkan ketika Marsad al-Ghanawi diutuskan oleh Rasulullah SAW ke Mekah membawa kaum muslimin yang lemah bersamanya. Ketika di Mekah seorang perempuan musyrikin Mekah yang cantik dan kaya bernama a'naq tertarik dengan Marsad dan ingin mengahwininya. Marsad bersetuju untuk mengahwini perempuan tersebut dengan syarat mendapatkan restu daripada Rasulullah SAW. Ketika Marsad bertanya Rasulullah SAW maka turunlah ayat ini. 

Diantaranya juga ialah firman Allah taala di dalam beberapa surah seperti :-

1. Surah al-Baqarah ayat 220 yang bermaksud :

Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim

2. Surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud :

Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. 

3. Surah an-Nisa' ayat 127 yang bermaksud :

Dan mereka minta fatwa kepadamu tentang para wanita

-Adakalanya al-Quran itu diturunkan dalam satu surah yang lengkap seperti surah al-Fatehah, surah al-Mudathir dan surah al-An'am.

-Adakalanya pula diturunkan sebanyak 10 ayat seperti kisah penipuan di dalam surah an-Nur dan 10 ayat awal surah al-Mu'minun.

-Adakalanya diturunkan diturunkan sebanyak 15 ayat seperti firman Allah di dalam surah an-nisa' dan surah Taubah


HIKMAH AL-QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR

1. Manhaj Ilahi sebagai salah satu cara wahyu diturunkan. Firman Allah Taala di dalam surah al-Isra' ayat 106 yang bermaksud :

Dan Al Quran itu Telah kami turunkan dengan berangsur-angsur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan kami menurunkannya bagian demi bagian.

2. Menetapkan hati baginda Rasulullah SAW dan menguatkan ingatan untuk menghafaz dan memeliharanya. Baginda dipilih oleh Allah dalam keadaan baginda tidak mampu membaca dan menulis sebagai satu hujjah menolak dakwaan musyrikin mekah al-Quran ini adalah hasil ciptaan baginda. Firman Allah Taala di dalam surah al-Furqan ayat 32 yang bermaksud :


Berkatalah orang-orang yang kafir: "Mengapa Al Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?"; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).

Maksudnya: Al Quran itu tidak diturunkan sekaligus, tetapi diturunkan secara berangsur-angsur agar dengan cara demikian hati nabi Muhammad SAW menjadi kuat dan tetap.


Isnin, 23 Disember 2013

CIRI-CIRI KEIMANAN DAN HAKIKATNYA


         Iman ini merupakan aqidah yang hanya diketahui rahsianya oleh Allah Taala namun ada ukuran pada peribadi manusia yang bersifat lahiriah. Sifat-sifat ini dapat dilihat melalui tindak-tanduk manusia samada perkataan atau perbuatan.

         Seseorang yang beriman itu mestilah mengetahui hikmah keimanannya melalui hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Sesungguhnya penyerahan dan penerimaan itu boleh berlaku melalui tiga perkara iaitu melalui pegangan hati (aqidah)  perbuatan dan  melalui lidah dan sifat lahiriahnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Allah memasukkan ahli syurga ke dalam syurga. Dia memasukkannya sesiapa yang Dia kehendaki dengan rahmat-Nya dan memasukkan ahli neraka ke dalam neraka kemudian Ia berfirman : Lihatlah kamu akan sesiapa yang kamu dapati di dalam hatinya iman walaupun sebesar biji yang halus maka keluarkanlah dia.
                                                                                     (riwayat Muslim)


 Hakikat Iman

         Terdapat kekhilafan di kalangan ulama’ tentang perkara hakikat iman. Adakah iman itu sekadar di hati atau iman jua terdapat pada perkataan dan perbuatan. Di sini dikemukan beberapa pendapat ahli sunnah wal jamaah tentang perkara ini.

         Berkata sebahagian besar daripada pendapat ulama’ ahli sunnah bahawa sesungguhnya iman itu berpandukan ikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melaksanakan dengan anggota sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab “Syarah al-Aqidah at-Toohawiyyah.[1]

         Berkata al-‘Allaamah Ibnu Qayyim al-Jauziy seorang ulama’ mazhab ahli sunnah: sesungguhnya iman itu membenarkan dengan hati, beramal dengan rukun-rukunnya dan melafazkan dengan lisan. Ini dinyatalan di dalam syairnya:

Aku bersaksi ke atas mereka sesungguhnya terbina iman
Berdasarkan perbuatan, perkataan dan hati yang membenarkan[2]

         Berkata Imam Syafie r.a. di dalam kitab al-Umm : “Adalah disepakati oleh sahabat, tabiin dan selepas daripada mereka serta orang yang mengenali mereka bahawa iman adalah perkataan, perbuatan dan niat. Tidak boleh dipisahkan satu daripada tiga perkara tersebut”.[3]

         Berkata Imam Ahmad bin Hambal “Ini adalah kerana mereka yang mengatakan sesungguhnya iman itu melibatkan perkataan dan perbuatan adalah ahli sunnah dan merekalah pendokong syiar Islam”.[4]

         Demikianlah juga yang diriwayatkan oleh Abu Umar melalui Musa bin Harun dan diceritakan oleh Ishak bin Rohiwiyyah tentang iman ini. Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Imam al-Auza’I di Syam, Iman Sufian as-Sauri di Iraq, Imam Malik bin Anas di Hijaz dan Ma’mar di Yaman[5]        

         Pendapat yang paling tepat ialah ulama’ ahli sunnah bersepakat bahawa iman itu diketahui dengan perkataan, hati dan amalan dan bersandarkan pada pandangan Allah taala. Mereka yang berpegang pada tiga perkara ini berhak menerima syurga dan tidak kekal di dalam neraka. Ini kerana mereka yang melafazkan kalimah syahadah secara mutlak melaksanakan perintah-perintah Allah dan beristiqamah di atasnya. Mereka tidak akan dihukum sebagai kafir selagimana syahadah tidak terbatal.[6]

Iman itu bertambah dan berkurang

Sebagaimana percanggahan ulama, tentang hakikat iman begitu juga tentang iman bertambah dan berkurang. Dikalangan ulamak ada yang berpendapat bahawa iman itu tidak bertambah dan berkurang ianya dipandang sebagai aqidah yang tidak boleh dibahagikan.

Menurut pendapat salaf  bahkan pendapat jumhur ulamak bahawa iman yang disertakan dengan amal yang soleh itu bertambah dan berkurang kerana ada nas-nas yang dinyatakan berdasarkan al-Quran, as-Sunnah dan athar para sahabat.

Berkata Imam at-Tohawi di dalam kitabnya al-Aqidah at-Tohawiyyah “ Dan iman itu satu. Pada hakikatnya yang asal semua orang Islam ini berada pada tahap yang sama namun kelebihan mereka di sisi Allah adalah berdasarkan takut dan takwa mereka kepada Allah”.[7]

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyatakan tentang iman itu bertambah dan berkurang. Firman Allah taala:
   
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.[8]

Firman Allah taala:
 t
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya segala urusan kami)".[9]

Firman Allah taala:

(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman  supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada.[10]

         Terdapat juga beberapa dalil daripada hadis Nabi s.a.w mengenai perkara ini antaranya sabda Nabi s.a.w.

Iman itu mempunyai 70 cabang, yang paling tinggi adalah kalimah لا إله إلا الله  dan serendah-rendahnya adalah membuang sesuatu halangan  di jalanan, malu itu sebahagian daripada iman[11]
                                                                           (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi s.a.w.

Iman yang paling sempurna di kalangan orang yang beriman adalah orang yang paling baik akhlaknya.[12]
                   (riwayat Tirmizi dan Hakim, kata Imam Tirmizi hadis Hassan sahih
Sabda Nabi s.a.w.

Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasanya) sekiranya tidak mampu hendaklah mengubah dengan lidahnya dan sekiranya tidak mampu hendaklah membenci di dalam hati dan itulah selemah-lemah iman[13]
                                                                                     (riwayat Muslim)

         Di sana juga terdapat athar para sahabat dalam menyatakan iman itu bertambah dan berkurang sepertimana yang diceritakan bahawa Syaidina Umar r.a.[14] berkata

Marilah kita bersama-sama tingkatkan iman, maka sebutlah dan ingatlah Allah

         Berdasarkan dalil-dalil yang dinyatakan maka jelaslah bahawa iman itu bertambah dan berkurang dan di antara sebab-sebab utama bertambahnya iman ialah:

1. Ilmu:

ini kerana bertambahnya iman seseorang itu berdasarkan bertambahnya pengetahuannya dan keyakinannya. Berkata Jundub bin Abdullah dan Ibnu Umar r.a.[15]

Kami mempelajari iman. Kami mempelajari al-Quran maka dengan itu kami meningkatkan iman kami.

         Kedudukan ilmu yang dimaksudkan di sini ialah pengetahuan tentang Allah Taala, nama-Nya yang mulia, sifat Allah dan perbuatan-Nya. Pengetahun tentang ayat-ayat Allah. Pengetahuan tentang Rasulullah (s.a.w.) yang membawa risalah Tuhan secara jelas. Pengetahuan tentang akhlak Rasulullah (s.a.w.) serta syariat yang dibawa oleh baginda, sirah perjalanan baginda serta ibadah, jihad dan muamalah baginda. Pengetahuan tentang kitab-kitab Allah serta hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.

2. Amalan :

 Sesungguhnya dengan melakukan banyak amalan yang soleh dengan ketaatan akan menambahkan keyakinan dan menguatkan keimanan kepada Allah manakala kekurangan amal dan terdedah kepada maksiat dapat melemahkan iman sehinggalah sampai kepada tahap manusia dengan sebab banyaknya kemungkaran yang dilakukan akhirnya membawa mereka kepada kekufuran terhadap Allah taala.

Di dalam perkara ini terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian. Ada dikalangan manusia melihat kepada amalan hanya dengan membenarkan sahaja tetapi tidak dijadikan sebagai amalan harian mereka. Ada yang mendengar tetapi tidak diamalkan, maka perkara inilah yang menyebabkan iman manusia kepada Allah berkurangan sedangkan peningkatan iman itu memerlukan bukan sekadar kepada pemahaman semata-mata bahkan perlu kepada amalan yang selari dengan pemahamannya.

3. Ingatan, sebutan dan fikiran

         hati mengingati sifat-sifat yang layak bagi Allah Taala, lidah menyebut dan  membaca ayat-ayat Allah Taala di dalam al-Quran. Apabila lidah dan hati berterusan mengingati Allah maka hatinya sentiasa terikat dengan Allah dan jauh daripada kelalaian. Berkata Abi Ja’far daripada datuknya Umair b. Habib (salah seorang sahabat Rasulullah SAW):

Iman itu bertambah dan berkurang, seseorang bertanya: Apakah yang menyebabkan iman itu bertambah dan berkurang ? Jawabnya: Iman itu bertambah apabila kita mengingati dan menyebut nama Allah, memuji-Nya dan menyucikan-Nya. Manakala iman itu berkurang apabila kita lalai dan lupa menyebut nama Allah.[16]

Firman Allah Taala :
t
(yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri,  duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksaan api neraka.[17]

         Manakala akal digunakan untuk memikirkan kebesaran Allah Taala pada segala ciptaan-Nya. Sekiranya manusia sedar tentamg kelemahan diri makhluk berbanding penciptanya disaat itu perasaan takut dan mengharap begitu menebal di dalam jiwa. Maka disaat itulah bertambahnya iman manusia bahkan manusia boleh merasainya. Apabila manusia lalai dan merasakan segala yang dimiliki itu pada pemikiran mereka adalah hasil usaha mereka semata-mata serta tidak merasa pertolongan Allah ke atas mereka maka disaat itu semakin berkuranglah iman mereka. Firman Allah Taala :

mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi.[18]




















[1] Syarah Aqidah at-Tohawiyah m/s 373
[2] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 139
[3] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 140
[4] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[5] Kitab al-Iman, arkanuhu wa haqiqatuhu wa nawaqiduhu, Mohd Na’im Yasin ms 132
[6] Syarah an-Nawawi ‘ala Sahih Muslim jilid 1 m/s 149
[7] Syarah al-Aqidah at-tohawiyah m/s 375
[8] Surah al-Anfal ayat 2
[9] Surah al-Imran ayat 173
[10] Surah al-Fath ayat  4
[11] Sahih al-Bukhari , Fathul Bari jilid 1 m/s 33 dan Sahih Muslim , syarah Imam an-Nawawi jilid 1 m/s 6
[12] Al-Targhib wat Tarhib jilid 3 m/s 403
[13] Sahih Muslim, Syarah Imam Nawawi jilid 2 m/s 22
[14] Syarah Aqidah at-Tihawiyyah m/s 376
[15] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[16] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[17] Surah al-Imran ayat 191
[18] Surah al-Imran ayat 191

Rabu, 18 Disember 2013

PENGERTIAN ISLAM

PENGERTIAN ISLAM

Islam ini merupakan agama yang diwahyukan oleh Allah Taala kepada para-para nabi a.s. menjadi pegangan pengikut-pengikutnya. Islam ini tidak mampu hanya diterjemahkan sekadar pandangan manusia kerana pengertiannya jauh berbeza dengan dengan pengertian pemahaman agama-agama yang lain.

Islam ini merupakan agama yang meliputi semua perkara di dalam kehidupan manusia samada yang berkaitan dengan aqidah manusia, syariat-syariat yang berhubungan dengan rohani dan jasmani, individu dan berkumpulan bahkan yang meliputi segala urusan kehidupan di dunia dan di akhirat. Firman Allah Taala:
t
(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.[1]
        
Islam juga boleh ditakrifkan dengan jawapan kepada soalan orang yang bertanya sebagaimana yang dijawab oleh baginda Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya yang bermaksud:

Dibina Islam itu di atas lima perkara bersyahadah bahawa tiada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan.
                                              
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

         Di sana juga terdapat beberapa ta’rif yang dikemukan oleh ulama’ berdasarkan al-Quran as-Sunnah antaranya ialah Islam itu bererti tunduk dan menyerah diri kepada Allah taala serta mentaatinya yang lahir dari kesedaran dengan tidak dipaksa. Ini kerana keislaman berdasarkan kepada paksaan tidak diterima oleh Allah taala. Firman Allah taala:

Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nyalah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.[2]

         Berdasarkan ayat di atas kita umat Islam sepatutnya mengerti bahawa Islam bukanlah suatu agama yang memberi paksaan ke atas penganutnya tetapi segala ibadat yang dilakukan adalah berdasarkan kepada keikhlasan hati dan kepatuhan secara menyeluruh samada berkaitan akidah, ibadat, muamalah, akhlak samada perkara yang berkaitan dengan perjalanan hidup seorang hamba di dunia yang fana ini maupun perbekalan ke dunia yang abadi.

         Selain itu Islam juga boleh ditakrifkan sebagai jawapan kepada tiga persoalan iaitu :-

1.     Dari mana kita datang?
2.     Kenapa kita diciptakan?
3.     Kemanakah kita akan dikembalikan?


 Dari Mana Kita Datang?

Kita adalah makhluk Allah yang diciptakan oleh-Nya memiliki akal fikiran berlainan dengan makhluk yang lain. Dikurniakan akal fikiran untuk melihat kebesaran Allah pada ciptaan-Nya. Kita juga perlu sedar tentang hakikat kejadian kita yang berasal daripada titisan air mani yang hina sehinggalah sempurnanya kejadian manusia. Adakah setelah itu layak bagi makhluk ini menderhakai penciptanya. Firman Allah taala:


Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur- ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang dimatikan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyayuk, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi Ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.[3]

         Firman Allah taala :

Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami saluti dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.[4]

Di dalam ayat yang lain Allah Taala berfirman:
  
Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan?. Dia diciptakan dari air yang dipancarkan, yang keluar dari antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan.[5]

         Jelaslah bahawa kita ini merupakan hamba Allah yang diciptakan-Nya sebagai makhluk tuhan. Dijadikan oleh Allah daripada sesuatu yang hina berakhir dengan kemuliaan atau kekal di dalam kehinaan.

Kenapa Kita Diciptakan?

         Setiap yang dicipta ada kegunaan dan tugasnya. Begitulah dengan manusia bukan diciptakan hanya sebagai ciptaan semata-mata bahkan ada tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan. Manusia menciptakan sesuatu untuk mendapatkan faedah daripada ciptaannya berlainan dengan Allah Yang Maha Berkuasa tidak mengharapkan faedah dari ciptaan-Nya tetapi Allah memberikan faedah kepada ciptaan-Nya. Firman Allah taala:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.[6]

                                                                                    
Kemanakah Kita Akan Dikembalikan?

         Setiap permulaan itu sudah tentu ada akhirnya. Begitulah hakikat kehidupan manusia akan ada jua penghujungnya. Sebagai orang Islam yang beriman kita perlu mengerti bahawa adanya alam yang lain selepas kehidupan yang sementara di dunia yang fana’ ini.

Firman Allah taala:

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya).[7]

Firman Allah taala:

Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian kepada-Nyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).[8]

Firman Allah taala:

kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.[9]

         Ayat-ayat di atas ini menyatakan tentang kesudahan manusia dimana mereka akan berjumpa Allah di akhirat kelak dan segala amalannya di dunia akan diperhitung dan diberi balasan. Barangsiapa yang beroleh syurga maka berjayalah dia dan barangsiapa yang beroleh neraka maka celakalah dia.




[1] Surah an-Nahl ayat 89
[2] Surah al-Imran ayat 83
[3] Surah al-Haj ayat 5
[4] Surah al-Mukminum ayat 12 - 14
[5] Surah at-Thariq ayat 5 - 7
[6] Surah az-Zariyat ayat 15
[7] Surah al-Insyiqaq ayat 6
[8] Surah ar-Rum ayat 11
[9] Surah az-Zumar ayat 7

Selasa, 17 Disember 2013

ISLAM AGAMA YANG SATU DIANUTI OLEH SEMUA PARA NABI


Semua para Anbia’ bermula daripada Adam a.s. membawa risalah tauhid yang satu yang tidak pernah bercanggah  antara nabi-nabi sehingga kepada nabi yang terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah:

Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (mereka berdoa): "Ampunilah kami Ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali."1
                                                                                            
         Agama yang dibawa oleh para-para nabi merupakan agama yang suci yang dikenali sebagai Islam. Walaupun pun syariat berbeza mengikut kaum mereka tetapi aqidahnya satu. Firman Allah taala:

Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab[kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al Quran] kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kufur terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.2                                               

Firman Allah taala:

Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus (jauh dari syirik (mempersekutukan Allah) dan jauh dari kesesatan) lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik.3


[1] Surah al-Baqarah ayat 285
[2] Surah al-Imran ayat 19
[3] Surah al-Imran ayat 67

Isnin, 16 Disember 2013

Fitrah manusia memerlukan agama

1.FITRAH MANUSIA MEMERLUKAN AGAMA

         Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia bergantung harap kepada yang lebih berkuasa. Semua manusia mempunyai keyakinan di dalam hati adanya kuasa yang lebih hebat daripada dirinya yang menjadi tempat pergantungan.
        
Apa jua agama di dunia ini percaya wujudnya tuhan melainkan golongan atheis atau mulhid  iaitu satu kumpulan yang kononnya tidak mempercayai wujudnya tuhan. Namun sebenarnya walaupun mereka menyangkal adanya tuhan tetapi hati mereka tetap menerima adanya satu kuasa yang lebih hebat daripada dirinya yang menjadi tempat bergantung dan meminta tolong.
        

Inilah yang dikatakan sebagai fitrah. Perkataan fitrah yang mengikut kefahaman tauhid adalah agama Allah iaitu agama yang Allah ciptakan kepada manusia untuk mencari kebenaran yang hakiki sebagaimana firman Allah taala: 

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Perkataan fitrah Allah di dalam ayat di atas membawa maksud ciptaan Allah. Manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama tauhid. kalau ada manusia tidak beragama tauhid, Maka hal itu tidaklah wajar, mereka tidak beragama tauhid itu hanyalah lantaran pengaruh masyarakat sekeliling.

         Manusia merupakan makhluk Allah yang paling istimewa yang dikurniakan akal fikiran yang dapat membezakan dan memahami sesuatu tetapi masih lemah untuk memikirkan tentang kejadiannya. Oleh kerana itu manusia memerlukan wahyu Allah untuk mendorong mereka ke arah jalan kebenaran. Tidak mencukupi bagi manusia dengan  hanya menggunakan akal untuk membezakan di antara kebaikan dan keburukan menurut fitrah insaniah bahkan di sana terdapat perkara-perkara as-sam’iyyat (ghaib) yang hanya dapat diketahui oleh manusia  melalui wahyu dan syarak. Perkara-perkara ini melibatkan beriman kepada Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna, beriman kepada malaikat, kita-kitab, para-para rasul, hari kebangkitan, ketentuan dan takdir dari Allah serta kematian.

Ahad, 15 Disember 2013

kuliah tafsir

Pengertian Al-Quran

Kalamullah yang Agung yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW dengan lafaz Bahasa Arab yang termaktub di dalam mashaf, menjadi ibadah apabila membacanya (iaitu tidak sah solat melainkan membaca salah satu daripada ayat-ayatnya) diturunkan secara mutawatir, dimulakan dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas.

Berdasarkan kepada pengertian di atas jelas menyatakan bahawa terjemahan al-Quran tidak boleh dianggap sebagai al-Quran bahkan hanya sebagai tafsiran kerana syarat al-Quran itu sendiri adalah secara mutawatir (Mustahil berkumpul manusia itu untuk melakukan pendustaan) walaupun terjemahan itu di dalam Bahasa Arab.

Nama-nama al-Quran

1. Al-Quran (bacaan)

Dinamakan al-Quran kerana ayat-ayat al-Quran diturunkan dan dibaca. Berkata Abu Ubaidah : Dinamakan al-Quran kerana di dalamnya dikumpul surah-surah untuk diamati. Firman Allah Taala (al-Qiamah : 17) bermaksud : Sesungguh Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu di dalam dadamu dan menetapkan bacaannya pada lidahmu.

2. Al-Kitab (himpunan)

Dinamakan al-Kitab kerana di dalamnya dihimpun berbagai-bagai perkara daripada kisah-kisah, ayat-ayat, hukum dan perkhabaran dalam bentuk yang khusus.

3. Al-Mashaf (Himpunan suhuf)

Suhuf ialah cebisan atau kepingan daripada kulit dan daun-daun yang ditulis padanya sesuatu. Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar di dalam majlis bertanya kepada sahabat-sahabat yang lain tentang nama al-Quran selepas pengumpulan ayat-ayat al-Quran, majlis syura menamakan al-Mashaf. Wallahu a'lam

4. An-Nur (cahaya)

Dinamakan an-Nur kerana al-Quran mendedahkan kebenaran, menjelaskan rahsia disebalik halal dan haram sesuatu perkara, menceritakan perkara yang ghaib dimana akal manusia tidak mampu mengetahuinya. An-Nur juga diertikan dengan keterangan dan petunjuk. Allah Taala berfirman di dalam surah an-Nisa : 174 yang bermaksud : Wahai sekalain umat manusia ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu al-Quran sebagai Nur (cahaya) yang menerangi segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagian yang kekal di akhirat kelak.

5. Al-Furqan (pembeza)

Dinamakan al-Quran sebagai al-Furqan kerana membezakan diantara yang hak dan batil, membezakan diantara keimanan dan kekufuran, membezakan diantara yang baik dan buruk. Firman Allah Taala di dalam surah al-Furqan ayat 1 bermaksud : Maha Berkat Allah yang menurunkan al-Furqan kepada hambaNya Muhammad untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.

bersambung................




Jumaat, 22 Februari 2013

air jampi

assalamualaikum...
alhamdulillah...kebelakangan ini heboh kita mendengar berita tentang air jampi ops..patut dibetulkan air terapi atau air ruqyah. dalam al-Quran sudah disebut mafhumnya : diturunkan al-Quran itu sebagai rahmat dan penyembuh. tp sayang org mula mempermainkan kebenaran al-Quran dengan melakukan pembohongan pada rawatan-rawatan. sepatutnya kita perlu faham bahawa perkara ini timbul apabila perubatan islam mula menjadi pilihan dihati umat Islam pada hari ini maka timbullah golongan pendakyah-pendakyah yang cuba jatuhkan kehebatan ayat-ayat Allah dengan mewujudkan kepalsuan pada air terapi.

muslimin dan muslimat sekalian perlu difahami apakah kesan yang berlaku kepada pembaca-pembaca air terapi dalam ikhtiar dalam membantu saudara seagama ketika air itu dijadikan rawatan contohnya untuk rawatan makhluk halus dan sihir siapakah yang ,enanggung akibat dan serangan makhluk halus tersebut. setiap hari amalan2 dilakukan sebagai benteng serangan. bukanlah ust timbulkan semua ini utk bangga dengan amalan bahkan apa yang ada pada diri ust lebih jahil dikalangan org yg jahil bahkan lebih hina dari golongan yg hina di sisi Allah. pengamal perubatan islam tidak berpaksikan habuan yg diperolehi tp pengorbanan mereka bersengkang mata dan menderita kesakitan mengharapkan keredhaan Allah membantu sesama islam.

muslimin dan muslimat sekalian..adapun air itu tidak memberi apa2 pun kesan kerana kuasa yang Maha Mutlak menyembuhkan adalah milik Allah Yang Maha Esa tetapi kami hanya mengharapkan ikhtiar kami diberi pahala dan diberkati Allah (terapi alQuran attaawun:ust mohd. nasir b. ali)

Catatan Popular