Iman ini merupakan aqidah yang hanya
diketahui rahsianya oleh Allah Taala namun ada ukuran pada peribadi manusia
yang bersifat lahiriah. Sifat-sifat ini dapat dilihat melalui tindak-tanduk
manusia samada perkataan atau perbuatan.
Seseorang yang beriman itu mestilah
mengetahui hikmah keimanannya melalui hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh
Allah. Sesungguhnya penyerahan dan penerimaan itu boleh berlaku melalui tiga
perkara iaitu melalui pegangan hati (aqidah) perbuatan dan melalui lidah dan sifat lahiriahnya. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:
Allah memasukkan ahli syurga ke dalam syurga. Dia
memasukkannya sesiapa yang Dia kehendaki dengan rahmat-Nya dan memasukkan ahli
neraka ke dalam neraka kemudian Ia berfirman : Lihatlah kamu akan sesiapa yang
kamu dapati di dalam hatinya iman walaupun sebesar biji yang halus maka
keluarkanlah dia.
(riwayat
Muslim)
Hakikat Iman
Terdapat
kekhilafan di kalangan ulama’ tentang perkara hakikat iman. Adakah iman itu
sekadar di hati atau iman jua terdapat pada perkataan dan perbuatan. Di sini
dikemukan beberapa pendapat ahli sunnah wal jamaah tentang perkara ini.
Berkata
sebahagian besar daripada pendapat ulama’ ahli sunnah bahawa sesungguhnya iman
itu berpandukan ikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melaksanakan
dengan anggota sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab “Syarah al-Aqidah
at-Toohawiyyah.[1]
Berkata
al-‘Allaamah Ibnu Qayyim al-Jauziy seorang ulama’ mazhab ahli sunnah:
sesungguhnya iman itu membenarkan dengan hati, beramal dengan rukun-rukunnya
dan melafazkan dengan lisan. Ini dinyatalan di dalam syairnya:
Aku bersaksi ke atas mereka sesungguhnya terbina iman
Berdasarkan perbuatan, perkataan dan hati yang
membenarkan[2]
Berkata Imam Syafie r.a. di dalam kitab
al-Umm : “Adalah disepakati oleh sahabat, tabiin dan selepas daripada mereka
serta orang yang mengenali mereka bahawa iman adalah perkataan, perbuatan dan
niat. Tidak boleh dipisahkan satu daripada tiga perkara tersebut”.[3]
Berkata Imam Ahmad bin Hambal “Ini
adalah kerana mereka yang mengatakan sesungguhnya iman itu melibatkan perkataan
dan perbuatan adalah ahli sunnah dan merekalah pendokong syiar Islam”.[4]
Demikianlah juga yang diriwayatkan oleh
Abu Umar melalui Musa bin Harun dan diceritakan oleh Ishak bin Rohiwiyyah tentang
iman ini. Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Imam al-Auza’I di Syam, Iman
Sufian as-Sauri di Iraq, Imam Malik bin Anas di Hijaz dan Ma’mar di Yaman[5]
Pendapat yang paling tepat ialah ulama’
ahli sunnah bersepakat bahawa iman itu diketahui dengan perkataan, hati dan
amalan dan bersandarkan pada pandangan Allah taala. Mereka yang berpegang pada
tiga perkara ini berhak menerima syurga dan tidak kekal di dalam neraka. Ini
kerana mereka yang melafazkan kalimah syahadah secara mutlak melaksanakan perintah-perintah
Allah dan beristiqamah di atasnya. Mereka tidak akan dihukum sebagai kafir
selagimana syahadah tidak terbatal.[6]
Iman itu bertambah dan berkurang
Sebagaimana
percanggahan ulama, tentang hakikat iman begitu juga tentang iman bertambah dan
berkurang. Dikalangan ulamak ada yang berpendapat bahawa iman itu tidak
bertambah dan berkurang ianya dipandang sebagai aqidah yang tidak boleh
dibahagikan.
Menurut
pendapat salaf bahkan pendapat jumhur
ulamak bahawa iman yang disertakan dengan amal yang soleh itu bertambah dan
berkurang kerana ada nas-nas yang dinyatakan berdasarkan al-Quran, as-Sunnah
dan athar para sahabat.
Berkata
Imam at-Tohawi di dalam kitabnya al-Aqidah at-Tohawiyyah “ Dan iman itu satu.
Pada hakikatnya yang asal semua orang Islam ini berada pada tahap yang sama
namun kelebihan mereka di sisi Allah adalah berdasarkan takut dan takwa mereka
kepada Allah”.[7]
Terdapat
banyak ayat al-Quran yang menyatakan tentang iman itu bertambah dan berkurang.
Firman Allah taala:
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut
nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan
kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan
mereka jualah mereka berserah.[8]
Firman
Allah taala:
t
Mereka
juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka:
"Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi
kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". maka berita itu makin
menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong)
kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya segala urusan kami)".[9]
Firman
Allah taala:
(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang
menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin
beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada.[10]
Terdapat juga beberapa dalil daripada
hadis Nabi s.a.w mengenai perkara ini antaranya sabda Nabi s.a.w.
Iman
itu mempunyai 70 cabang, yang paling tinggi adalah kalimah لا إله إلا الله dan serendah-rendahnya adalah membuang sesuatu
halangan di jalanan, malu itu sebahagian
daripada iman[11]
(riwayat
Bukhari dan Muslim)
Sabda
Nabi s.a.w.
Iman
yang paling sempurna di kalangan orang yang beriman adalah orang yang paling
baik akhlaknya.[12]
(riwayat Tirmizi dan Hakim,
kata Imam Tirmizi hadis Hassan sahih
Sabda
Nabi s.a.w.
Barangsiapa
yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasanya)
sekiranya tidak mampu hendaklah mengubah dengan lidahnya dan sekiranya tidak
mampu hendaklah membenci di dalam hati dan itulah selemah-lemah iman[13]
(riwayat
Muslim)
Di sana juga terdapat athar para
sahabat dalam menyatakan iman itu bertambah dan berkurang sepertimana yang
diceritakan bahawa Syaidina Umar r.a.[14] berkata
Marilah
kita bersama-sama tingkatkan iman, maka sebutlah dan ingatlah Allah
Berdasarkan dalil-dalil yang dinyatakan
maka jelaslah bahawa iman itu bertambah dan berkurang dan di antara sebab-sebab
utama bertambahnya iman ialah:
1.
Ilmu:
ini kerana bertambahnya iman seseorang itu berdasarkan
bertambahnya pengetahuannya dan keyakinannya. Berkata Jundub bin Abdullah dan
Ibnu Umar r.a.[15]
Kami
mempelajari iman. Kami mempelajari al-Quran maka dengan itu kami meningkatkan
iman kami.
Kedudukan ilmu yang dimaksudkan di sini
ialah pengetahuan tentang Allah Taala, nama-Nya yang mulia, sifat Allah dan
perbuatan-Nya. Pengetahun tentang ayat-ayat Allah. Pengetahuan tentang
Rasulullah (s.a.w.) yang membawa risalah Tuhan secara jelas. Pengetahuan tentang
akhlak Rasulullah (s.a.w.) serta syariat yang dibawa oleh baginda, sirah
perjalanan baginda serta ibadah, jihad dan muamalah baginda. Pengetahuan
tentang kitab-kitab Allah serta hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.
2.
Amalan :
Sesungguhnya
dengan melakukan banyak amalan yang soleh dengan ketaatan akan menambahkan
keyakinan dan menguatkan keimanan kepada Allah manakala kekurangan amal dan
terdedah kepada maksiat dapat melemahkan iman sehinggalah sampai kepada tahap
manusia dengan sebab banyaknya kemungkaran yang dilakukan akhirnya membawa
mereka kepada kekufuran terhadap Allah taala.
Di dalam perkara ini terdapat dua perkara yang perlu
diberi perhatian. Ada dikalangan manusia melihat kepada amalan hanya dengan
membenarkan sahaja tetapi tidak dijadikan sebagai amalan harian mereka. Ada
yang mendengar tetapi tidak diamalkan, maka perkara inilah yang menyebabkan
iman manusia kepada Allah berkurangan sedangkan peningkatan iman itu memerlukan
bukan sekadar kepada pemahaman semata-mata bahkan perlu kepada amalan yang
selari dengan pemahamannya.
3.
Ingatan, sebutan dan fikiran
hati mengingati sifat-sifat yang layak
bagi Allah Taala, lidah menyebut dan
membaca ayat-ayat Allah Taala di dalam al-Quran. Apabila lidah dan hati
berterusan mengingati Allah maka hatinya sentiasa terikat dengan Allah dan jauh
daripada kelalaian. Berkata Abi Ja’far daripada datuknya Umair b. Habib (salah
seorang sahabat Rasulullah SAW):
Iman
itu bertambah dan berkurang, seseorang bertanya: Apakah yang menyebabkan iman
itu bertambah dan berkurang ? Jawabnya: Iman itu bertambah apabila kita
mengingati dan menyebut nama Allah, memuji-Nya dan menyucikan-Nya. Manakala
iman itu berkurang apabila kita lalai dan lupa menyebut nama Allah.[16]
Firman
Allah Taala :
t
(yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka
memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan
kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka
peliharalah kami dari siksaan api neraka.[17]
Manakala akal digunakan untuk memikirkan
kebesaran Allah Taala pada segala ciptaan-Nya. Sekiranya manusia sedar tentamg
kelemahan diri makhluk berbanding penciptanya disaat itu perasaan takut dan
mengharap begitu menebal di dalam jiwa. Maka disaat itulah bertambahnya iman
manusia bahkan manusia boleh merasainya. Apabila manusia lalai dan merasakan
segala yang dimiliki itu pada pemikiran mereka adalah hasil usaha mereka
semata-mata serta tidak merasa pertolongan Allah ke atas mereka maka disaat itu
semakin berkuranglah iman mereka. Firman Allah Taala :
mereka
memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi.[18]
[1] Syarah Aqidah at-Tohawiyah m/s 373
[2] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 139
[3] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 140
[4] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[5] Kitab al-Iman, arkanuhu wa haqiqatuhu wa nawaqiduhu, Mohd Na’im
Yasin ms 132
[6] Syarah an-Nawawi ‘ala Sahih Muslim jilid 1 m/s 149
[7] Syarah al-Aqidah at-tohawiyah m/s 375
[8] Surah al-Anfal ayat 2
[9] Surah al-Imran ayat 173
[10] Surah al-Fath ayat 4
[11] Sahih al-Bukhari , Fathul Bari jilid 1 m/s 33 dan Sahih Muslim ,
syarah Imam an-Nawawi jilid 1 m/s 6
[12] Al-Targhib wat Tarhib jilid 3 m/s 403
[13] Sahih Muslim, Syarah Imam Nawawi jilid 2 m/s 22
[14] Syarah Aqidah at-Tihawiyyah m/s 376
[15] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[16] Syarah Qasidah Ibnu al-Qayyim jilid 2 m/s 141
[17] Surah al-Imran ayat 191
[18] Surah al-Imran ayat 191